
BINTANGOR: Projek penggantian pontun konkrit (R.C. pontoon) dan kerja berkaitan di Jeti R.C. Pontoon Wharf Main Bazaar yang bernilai RM3.04 juta kini telah mencatat kemajuan fizikal sebanyak 46.8 peratus, kata Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin.
Katanya, projek tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) untuk memperkukuh keselamatan, fungsi dan daya tahan infrastruktur sungai, selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), termasuk inisiatif serupa di Sibu dan Bintulu.
“Pontun sedia ada telah banyak terjejas akibat cuaca dan keadaan persekitaran laut yang mencabar.
“Ia tidak lagi memenuhi piawaian struktur dan keselamatan, justeru penggantian ini amat penting bagi menjamin keselamatan awam serta menyokong aktiviti sosioekonomi tempatan,” katanya semasa ditemu bual media selepas lawatan kerja ke tapak projek, hari ini.


SEDANG DINAIK TARAF… Jeti R.C. Pontoon Wharf Main Bazaar masih sedang dalam proses naik taraf.
Katanya, projek yang diletakkan di bawah kategori ‘Projek Fizikal – Jeti/Wharf’ ini telah bermula pada 6 November 2024 dan dijangka siap dalam tempoh 10 bulan, diikuti Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) selama 12 bulan.
“Antara skop utama kerja merangkumi peleraian dua pontun lama dan dua laluan besi, pelupusan pontun tenggelam, naik taraf bumbung jeti, pemasangan cerucuk keluli berdiameter 508mm dan 355mm, pembinaan pontun baharu bersaiz 18.25 meter x 4.5 meter, laluan logam sepanjang 17.5 meter, dan pemasangan lampu solar marin serta pelampung keselamatan.
“Kerja penambahbaikan sementara turut dijalankan di jeti alternatif Jalan Maju bagi menjamin kelancaran pergerakan orang awam sepanjang tempoh pembinaan,” katanya.
Kim Shin menegaskan bahawa projek ini bukan sekadar kerja fizikal semata-mata, tetapi pelaburan penting dalam mempertingkat keselamatan pengangkutan sungai, memperkukuh ketahanan ekonomi dan meningkatkan kemudahan awam di bandar kecil seperti Bintangor.
“Kementerian memantau rapi pelaksanaan projek ini dan bekerjasama erat dengan agensi pelaksana serta kontraktor bagi memastikan tiada kelewatan serta kualiti kerja dikekalkan pada tahap tertinggi,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek