
BINTANGOR: Pelaksanaan beberapa projek di bawah Program Projek Mesra Rakyat (PMR) di kawasan Parlimen Sarikei yang telah siap sepenuhnya mengikut jadual membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan asas luar bandar.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata pelaksanaan projek berkenaan sekali gus meningkatkan jaringan perhubungan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Ia dilaksanakan bagi memastikan laluan perhubungan di kawasan terlibat berada dalam keadaan lebih baik, selamat dan mampu menyokong perkembangan sosioekonomi penduduk setempat.
“Selain itu, ia juga mencerminkan pendekatan berfokus kerajaan dalam memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara efektif demi kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, projek ini merupakan sebahagian daripada perancangan berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur luar bandar, khususnya melibatkan laluan yang sering digunakan penduduk bagi urusan harian seperti ke tempat kerja, sekolah dan aktiviti ekonomi setempat.
Antara lokasi yang terlibat dalam pelaksanaan projek PMR tersebut adalah Jalan Yek Nain Chie, Jalan Ting Heng Ing dan Jalan Yii Ung Ngie di KM11, Jalan Kelupu, yang kini memberikan kemudahan pergerakan lebih selesa kepada penduduk sekitar.
Sementara itu, sesi penyerahan siap kerja projek tersebut telah diwakili oleh Wong Soon Mee yang turut memantau pelaksanaan projek bagi memastikan ia memenuhi spesifikasi ditetapkan.
Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi pelaksana serta kontraktor yang terlibat atas kerjasama erat dalam memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pelaksanaan projek seperti ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh pembangunan kawasan secara menyeluruh dan inklusif,” katanya.
Oleh Earl Anek