

BINTANGOR: Beberapa projek pembinaan dan penambahbaikan jalan konkrit di kawasan luar bandar Bintangor telah berjaya disiapkan menerusi pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) 2025.
Ia sekali gus memperkukuh kemudahan perhubungan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
Projek tersebut melibatkan kerja penambahbaikan dan pembinaan jalan konkrit di beberapa lokasi, antaranya di jalan Arak Sulai dan jalan Christopher Berai di Sungai Meramat serta jalan Sing Ling di kawasan Jalan Ulu Sungai Pilit di Sungai Meradong.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan asas luar bandar terus diperkasakan secara menyeluruh.
“Projek ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, malah memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat dari segi pergerakan harian dan aktiviti ekonomi.
“Jaringan jalan yang lebih baik amat penting bagi memastikan kelancaran perhubungan, khususnya bagi penduduk luar bandar yang bergantung kepada laluan tersebut untuk urusan seharian, termasuk ke sekolah, tempat kerja dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tiong Sii turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan projek tersebut, termasuk agensi pelaksana dan kontraktor, serta berharap kerjasama berterusan dapat memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi dan piawaian ditetapkan.
Semalam, sesi pengesahan siap projek telah dijalankan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei bagi memastikan kualiti pelaksanaan menepati keperluan teknikal yang ditetapkan.
Sesi tersebut telah disaksikan oleh Wong Soon Mee dari Pusat Khidmat Parlimen Sarikei yang mewakili Tiong Sii. Turut hadir Penolong Jurutera JKR Sarikei, Ismawadi Iman.
Oleh Earl Anek