KUCHING: Projek Perumahan Ranggau Valley memulakan kerja pembinaannya Oktober ini selepas kerja-kerja menembok tanah dilakukan dan dijangka siap mengikut jadual pada April 2024.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Perumahan Rangau Limbang yang diadakan di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya telah diberi penjelasan oleh pihak pemaju, hari ini.
Katanya, kerja pembinaan akan dikendalikan oleh kontraktor Smart Housing R&R Sdn Bhd.
Ketika lawatan ke tapak projek berkenaan di Limbang baru-baru ini, beliau berkata, konsep perumahan Ranggau Valley ini amat menguntungkan dengan konsep rumah lebih menarik dengan harga RM120,000 hingga RM140,000 seunit.
Tambahnya lagi, pemilik rumah asal yang akan berpindah apabila perumahan itu siap nanti hanya perlu meneruskan pinjaman perumahan yang sedia ada tanpa bayaran tambahan.
Menurutnya, pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) selaku agensi yang diamanahkan untuk melaksana projek perumahan di negeri ini akan membina rumah sebanyak 128 unit rumah (102 rumah teres dua tingkat dan 26 rumah berkembar dua tingkat) berkonsepkan reka bentuk menarik untuk memindahkan penghuni di perumahan Ranggau dua tingkat yang lama sekarang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, projek perumahan Ranggau Valley yang dinanti sejak 10 tahun lalu bagi menggantikan perumahan Ranggau tidak terjual dan terbiar berdepan kelewatan atas pelbagai masalah.
Antaranya ialah aspek pelaksanaan termasuk teknikal tanah, kontraktor, kelulusan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 ynag melanda seluruh negara
“Rumah yang akan dibangunkan untuk penghuni rumah sedia ada sekarang bernilai RM120,000 hingga RM140,000 berbanding harga asal RM60,000 hingga ke RM90,000,” ujarnya.
Katanya, kawasan asal di perumahan yang terbengkalai itu akan dirobohkan dan HDC mempunyai perancangan untuk membina prasarana lain di kawasan tersebut.
Katanya, sekitar 400 unit perumahan Ranggau lama yang terbiar dan tidak terjual itu disebabkan reka bentuk rumah yang tidak mesra termasuk keadaan dapur, tandas dan ruang tamu yang agak sempit dan tidak selesa.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Belanjawan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Alex Tan Geok San, Ketua Seksyen Pelaksanaan dan Pemantauan Projek Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) Abg Mahathir Abg Mohd Omar, Penolong Jurutera HDC Baley Bong, wakil Residen Limbang Jaenly Marten, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi.
Hadir pada mesyuarat, Pengarah Urusan Smart Housing Sdn Bhd. Datuk Willam Wei.
Oleh ADENG EDRUS