

BINTULU: Kerja menaik taraf sistem perparitan di Rumah Mering Eba, Sungai Selad dijangka meningkatkan tahap keselamatan penduduk rumah panjang itu yang terletak di kawasan berbukit dan berisiko mengalami tanah runtuh ketika hujan lebat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, projek bernilai RM200,000 tersebut melibatkan pembinaan parit konkrit di bahagian hadapan dan belakang rumah panjang sebagai langkah memastikan aliran air hujan dapat dikendalikan dengan lebih teratur.
Tambahnya, pembinaan parit sepanjang sekitar 400 meter itu adalah keperluan mendesak bagi mengelakkan kejadian hakisan tanah dan takungan air yang berpotensi mencetuskan insiden tanah runtuh.
“Dengan kedudukannya di atas bukit, Rumah Mering terdedah kepada risiko tanah runtuh terutamanya ketika hujan berpanjangan.

“Melalui pembinaan parit konkrit ini, aliran air dapat disalurkan ke laluan yang betul dan sekali gus mengurangkan risiko tersebut.
“Kita mahu penduduk menikmati persekitaran yang lebih stabil dan selamat,” katanya selepas penyerahan tapak projek di Rumah Mering Eba, Jalan Bintulu–Tatau, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerja menggali parit di bahagian belakang rumah panjang telah dimulakan dan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.
Selain itu, Iskandar meminta tuai rumah dan penduduk memberikan kerjasama penuh kepada pihak kontraktor bagi memastikan projek berjalan lancar dan mengikut jadual.
Beliau turut menggalakkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Jepak untuk terus menyalurkan maklumat dan aduan kepada Pejabat Pusat Khidmat DUN Jepak.
“Kami sentiasa bersedia membantu dan sekiranya isu yang dibangkitkan membabitkan agensi lain, kami akan bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih