KUCHING: Projek perumahan baharu 15 unit di Samariang dikenali sebagai ‘Hainton Residences’ akan menjadi premis perumahan pintar berinovasi menggunakan Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang pertama di Sarawak.
Projek itu adalah kerjasama antara Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang akan disokong oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai agensi pelaksana NEM di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Komunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, rumah ini akan dilengkapi dengan pemasangan Solar Photovoltaic (solar PV) yang akan disambungkan ke Grid Elektrik Sarawak berdasarkan Garis Panduan NEM yang telah diperkenalkan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi pada Ogos 2021.
“NEM adalah satu mekanisme pengebilan bagi pengguna solar PV menjana dan mengeksport kembali tenaga elektrik ke grid elektrik berdasarkan pengimbangan ‘satu satu’.
“Ini bermakna satu kilowat jam (kWj) yang dieksport ke grid akan diimbangi dengan satu kWj yang digunakan daripada grid. Ini akan mengurangkan bil elektrik pengguna,” katanya berucap pada majlis pelancaran NEM yang pertama di Sarawak di sini, hari ini.
NEM adalah konsep mesra alam yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2016 dengan peruntukan 500MW sebagai insentif solar untuk meningkatkan penggunaan tenaga solar di Malaysia. NEM menggunakan sistem fotovolta (PV).
Julaihi berkata, teknologi itu adalah titik permulaan tepat dan relevan dalam menyahut seruan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sejajar dengan hala tuju agenda hijau pada ketika dunia sedang menghadapi isu perubahan iklim dan pemanasan global.
“Dalam pada itu, ia juga sesuai dengan perubahan dalam sektor tenaga yang berlaku di seluruh dunia.
“Ini juga adalah peluang kepada penguna domestik untuk turut serta dalam agenda hijau dan pemuliharaan alam sekitar dalam menghadapi isu perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata, sistem solar PV dengan penjanaan terkumpul 244 kilowatt-peak (kWp) akan dipasang di perumahan ini.
“Jumlah kuasa yang akan dieksport ke grid adalah dianggarkan sehingga 279,000 kilowatt-jam setahun. Penjanaan ini akan meningkatkan kapasiti terpasang dan peratusan penjanaan campuran tenaga boleh baharu grid. Tenaga ini akan digunakan untuk menampung keperluan pengguna lain termasuk di sektor komersial dan industri,” katanya.
Selain itu, pemaju juga akan berusaha untuk mendapatkan pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).
“Ini adalah satu perkembangan yang menarik bagi sektor tenaga dan sektor perumahan Sarawak.
“Inisiatif ini akan turut membuka jalan untuk kepakaran dalam penyelidikan berkenaan penggunaan solar di Sarawak.
“Usaha seperti ini dapat menjadi pemangkin pasaran solar panel di Sarawak supaya pulangan pelaburan dapat dicapai lebih cepat oleh pengguna,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN