LUNDU: Projek perintis Kluster Makanan Metropolitan (MFC) di Opar adalah yang pertama mengadaptasikan teknologi dengan kerjasama kerajaan Belanda.
Projek dilengkapi teknologi canggih bertujuan mengadaptasi pertanian moden itu dijangka meningkatkan hasil tanaman tempatan untuk dieksport ke luar negara yang dijangka siap pada 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata MFC merangkumi hasil bahan makanan seperti sayur bernilai tinggi dan ternakan termasuk penternakan haiwan dan untuk permulaan 10 hektar akan ambil masa 18 bulan.
“Teknologi ini diuruskan di Sarawak dan Belanda akan juga memantau dan menyelesaikan sebarang kelemahan timbul dari sudut teknologi yang digunakan,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek MFC Opar, di sini hari ini.
Abang Johari berkata kerajaan Sarawak bersetuju untuk menyalurkan RM60 juta, manakala RM20 juta lagi adalah daripada pihak swasta bagi projek tersebut.
“MFC ini akan dipantau bersama oleh Sarawak dan Belanda terutamanya dalam penyelesaian masalah memandangkan negara berkenaan mempunyai reputasi dan kejayaan yang kukuh dalam bidang pertanian.
“Kita akan melabur lebih kurang RM60 juta dari kerajaan Sarawak untuk kita membina infrastruktur termasuk bekalan air dan elektrik yang harus ditingkatkan kerana sekarang masih tidak mencukupi.
“Pihak swasta akan melabur lebih kurang RM20 juta dari sudut bahan pembinaan dan teknologi yang akan digunakan,” katanya.
Abang Johari berkata projek pertanian berasaskan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) itu adalah bagi menguruskan proses penghasilan makanan serta sayur-sayuran.
Katanya, projek itu akan dibina di atas tanah seluas 80 hektar dan buat permulaannya akan dibangunkan seluas 10 hektar yang dijangka mengambil tempoh 18 bulan untuk membangunkan rumah hijau ini.
Beliau berkata sekiranya MFC di Opar ini berjaya, beliau tidak menolak kemungkinan satu lagi fasiliti serupa akan dibangunkan di kawasan Bebuling, Spaoh pada masa akan datang.
Katanya, Bebuling dikenal pasti untuk destinasi MFC seterusnya adalah selaras dengan pembinaan lapangan terbang berlepas dan mendarat jarak pendek (STOLports) yang akan memudahkan proses eksport hasil tanaman itu nanti.
“Di sana kita tengah bangunkan satu lapangan terbang kecil, jadi ia dapat memasarkan hasil kita sekali gus memberikan sedikit nilai tambah kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kita,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek tersebut secara tidak langsung dapat membantu pekebun-pekebun kecil menjadi rakan kongsi serta dapat memasarkan hasil mereka kepada MFC.
Katanya, penghasilan tanaman yang berkualiti seperti salah dan tomato itu membolehkan Sarawak untuk mengeksport dan memasarkan produk ke Singapura.
“Menerusi Singapura, Sarawak akan dapat mengeksport lebih banyak hasil tanaman ke negara-negara lain melalui kaedah logistik,” katanya.
Oleh Noor Ikmal