
SIBU: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan projek perintis bagi memperbaharui proses memulakan perniagaan di negeri ini melibatkan dua daerah terpilih iaitu Sibu dan Kanowit.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata projek perintis itu akan mula dilaksanakan pada 1 Ogos 2025 hingga akhir Februari 2026.
“Inisiatif ini adalah kerjasama strategik antara Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak di bawah Jabatan Premier Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
“Ia bertujuan mempercepat dan memudahkan proses pendaftaran perniagaan menerusi penubuhan satu pusat sehenti atau One Facilitation Centre yang akan menyelaras semua urusan permohonan Lesen Perniagaan, Lesen Operasi dan Pendaftaran Nama Perniagaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, proses pendaftaran perniagaan kini melibatkan pelbagai jabatan dan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pejabat Daerah, Jabatan Perbendaharaan Bahagian serta pihak berkuasa tempatan menyebabkan tempoh pemprosesan menjadi panjang.
“Melalui projek ini, hanya satu agensi iaitu pihak berkuasa tempatan akan menguruskan keseluruhan proses dengan penggunaan satu borang komposit bagi ketiga-tiga jenis permohonan menggantikan keperluan mengisi borang berasingan seperti sebelum ini,” katanya.

Pelaksanaan projek di Sibu akan melibatkan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dengan operasi dijalankan di Pusat Perkhidmatan Sarawak, UTC Sibu manakala di Kanowit, urusan akan dijalankan di kaunter Majlis Daerah Kanowit.
Katanya, antara pembaharuan utama ialah pemendekan tempoh pemprosesan permohonan yang lengkap dengan dokumen sokongan.
“Bagi perniagaan berisiko rendah yang hanya memerlukan Pendaftaran Nama dan Lesen Perniagaan, permohonan boleh disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja manakala permohonan melibatkan Lesen Operasi akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja dengan hanya maksimum dua lawatan ke kaunter,” katanya.
Bagi kategori perniagaan berisiko tinggi seperti penjualan gas, pusat hiburan dan pusat penjagaan, tempoh pemprosesan ditetapkan tidak melebihi 30 hari bekerja berbanding lebih 60 hari sebelum ini.
Beliau berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan negeri untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, memperkukuh daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan serta menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih mesra usahawan.
“Sekiranya projek perintis ini berjaya, kita akan meluaskan pelaksanaannya ke daerah-daerah lain di seluruh Sarawak bagi memperkasakan lagi ekosistem keusahawanan di negeri ini,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Oleh Tarani Lanting