Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Projek Penyambungan Grid Kuasa Sarawak-Sabah dihidupkan hari ini, menjadi detik bersejarah kerjasama tenaga
  • SEMASA

Projek Penyambungan Grid Kuasa Sarawak-Sabah dihidupkan hari ini, menjadi detik bersejarah kerjasama tenaga

Utusan Sarawak 6 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (lima kanan) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (enam dari kiri) pada majlis perasmian Projek Penyambungan Grid Kuasa Elektrik Sarawak-Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. Foto Bernama

KOTA KINABALU: Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak secara rasmi dihidupkan hari ini, sekali gus menandakan satu detik bersejarah dalam kerjasama tenaga antara dua negeri di Borneo yang dijangka meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di Sabah secara signifikan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek berkenaan mencerminkan hubungan kepercayaan dan kerjasama strategik yang kukuh antara Sabah dan Sarawak, yang menjadi asas penting kepada pembangunan negeri.

Beliau menegaskan kejayaan pelaksanaan projek itu merupakan pencapaian besar yang menyerlahkan semangat kerjasama erat antara kedua-dua negeri.

“Sehubungan itu, projek penyambungan Grid Kuasa Sarawak–Sabah merupakan langkah transformasi dalam usaha membangunkan sistem bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai,” katanya ketika majlis penghidupan grid berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji berkata infrastruktur baharu berkenaan bukan sahaja menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), malah membolehkan negeri itu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, khususnya penjanaan tenaga berasaskan arang batu. 

Beliau berkata infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan mampan seterusnya akan meningkatkan keyakinan pelabur domestik serta antarabangsa, sekali gus memacu pertumbuhan sektor perindustrian, pembuatan dan hiliran di Sabah.

Mengakui permintaan tenaga elektrik meningkat selari pertumbuhan penduduk dan perkembangan industri, Hajiji berkata kerajaan negeri telah melaksanakan strategi menyeluruh melalui Majlis Tenaga Sabah serta Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.

Beliau berkata usaha itu berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) bagi memastikan rizab penjanaan mencukupi, di samping meningkatkan daya tahan keseluruhan grid.

“Inisiatif utama termasuk kelulusan dan pembangunan projek penjanaan tenaga baharu merangkumi campuran sumber tenaga yang pelbagai.

“Ini termasuk penggunaan loji jana kuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, selain pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidroelektrik, solar dan angin, serta teknologi penyimpanan tenaga termaju termasuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS),” katanya. 

Hajiji menegaskan langkah-langkah itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kapasiti penjanaan, malah mengurangkan risiko gangguan bekalan dengan mengurangkan kebergantungan negeri terhadap satu sumber tenaga sahaja.

“Kami kekal komited memastikan sektor tenaga Sabah berkembang seiring prinsip kelestarian alam sekitar bagi menjamin masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan Sarawak Energy atas komitmen mereka untuk menjadi rakan strategik dalam memacu pembangunan Sabah.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak perkukuh peranan sebagai hab tenaga hijau melalui Projek Penyambungan Grid Kuasa
Next: Hak Sarawak perlu dipertahan, isu MA63 diberi keutamaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.