SIBU: Projek menulis semula sejarah mengenai sejarah Pahlawan Katibas, Balang atau lebih dikenali sebagai Balang Balai Nyabong telah dirancang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, inisiatif ini bagi mengenang sejarah Balang sebagai simbol keberanian dan semangat juang dalam mempertahankan tanah air.
“Idea ini tercetus selepas seminar memperingati 100 tahun Perjanjian Perdamaian Kapit 1924-2024 baru-baru ini, yang mana pada 1924 difahamkan pertempuran besar antara masyarakat Katibas dan pihak penjajah yang dipimpin oleh Charles Brooke.
“Balang gigih mempertahankan kawasan Katibas daripada penjajahan luar semasa zaman pemerintahan Raja Brooke,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Task-Force Merungkai Sejarah Pahlawan Balang Balai Nyabung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Menurutnya, sejarah menyebut bahawa terdapat empat ekspedisi yang dilakukan oleh pihak luar pada era James Brooke untuk menakluk Katibas namun Balang bersama penduduk tempatan berani bangkit mempertahankan kawasan mereka.
“Sebagai generasi keturunan Katibas, saya merasa terpanggil untuk menulis serta mengkaji semula sejarah Balang.
“Ini penting kerana kebanyakan sejarah yang ada pada hari ini ditulis oleh pihak luar yang mungkin tidak menggambarkan cerita sebenar,” katanya.
Lidam yang juga patron projek turut menekankan betapa pentingnya projek ini bagi memastikan generasi masa depan mengenali asal-usul mereka.
Katanya, projek penulisan semula sejarah ini dirancang akan siap dalam tempoh dua tahun dengan melibatkan pengumpulan maklumat, pengesahan fakta, serta dokumentasi artifak dan bahan sejarah.
“Kami juga akan bekerjasama dengan penulis-penulis berpengalaman seperti Profesor Datu Nelson Ilan Mersat dan Dr. Philip Beginda, dengan sokongan daripada Song Graduate Club (SGC) sebagai sekretariat,” kata beliau.
Selain itu, katanya lagi, satu tugu peringatan bagi mengenang jasa Balang juga akan didirikan di kawasan Katibas.
“Justeru, saya menyeru kepada penduduk asal Katibas khususnya waris-waris Balang untuk berkongsi maklumat, artifak, dan cerita mengenai Balang yang mungkin masih ada di kalangan mereka.
“Kami mahu mengumpulkan maklumat, termasuk tempat tinggal beliau, serta sumbangan-sumbangan penting yang beliau lakukan untuk mempertahankan kawasan Katibas,” ujarnya lagi.
Beliau memberitahu, tujuan penulisan semula sejarah ini adalah untuk memastikan generasi masa depan mengetahui asal-usul mereka.
“Penulisan ini penting kerana generasi sekarang berada di persimpangan ada yang masih tahu sedikit tentang sejarah, manakala generasi akan datang mungkin langsung tidak tahu apa-apa.
“Oleh itu, adalah tanggungjawab kita untuk menulis dan memperbetulkan sejarah ini demi tatapan generasi masa depan,” tambahnya.
Oleh Akun Giman