SIBU: Projek penulisan semula sejarah Pahlawan Katibas atau lebih dikenali sebagai Balang Balai Nyabung adalah bukan bertujuan untuk meraih keuntungan atau kepentingan peribadi.
Pengurus projeknya, Dr Philip Beginda memberitahu, usaha ini adalah lebih kepada simpanan sejarah khas untuk penduduk Song.
“Projek ini lebih kepada penulisan ilmiah berbentuk pendidikan serta kesedaran untuk kita kembangkan sejarah tentang Balang ini dengan lebih jauh lagi untuk pengkaji-pengkaji sejarah pada masa akan datang seterusnya menjadi tatapan kepada generasi baharu Song amnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan tentang projek tersebut semasa Mesyuarat Task-Force Merungkai Sejarah Pahlawan Balang Balai Nyabung yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Katanya, walaupun sejarah mengenainya sudah ditulis oleh pengkaji-pengkaji sejarah terdahulu tetapi ianya tidak begitu menyeluruh.
“Sekarang kita mahu sejarah ini ditulis dalam bentuk-bentuk tulisan ilmiah supaya dapat menjadi bahan rujukan untuk masa akan datang serta menjadi simpanan khas untuk masyarakat Song.
“Balang adalah satu sejarah di kawasan Katibas yang perlu dihormati, dikenang serta diketahui semua generasi baharu akan datang supaya mereka dapat mengenang jasanya.
“Dalam pada masa yang sama untuk memupuk kesedaran di kalangan belia-belia baharu tentang kepentingan sejarah tempatan,” kata beliau.
Beliau berkata, Song Graduate Club (SGC) mempelopori dalam bidang akademik terutamanya dalam bidang penulisan dengan mengumpul semua cerita, bahan akademik, dan semua bahan agar tidak hilang dan disimpan jadi aset dibawah kelab.
“Jawatankuasa yang terdiri daripada penulis dan pengkaji yang dilantik sudah dibahagikan tugas dalam merekod atau menulis sejarah mengenai Balang secara mendalam atau secara ilmiah.
“Kita berharap agar dalam masa tiga bulan ini usaha-usaha permulaannya harus menampakkan hasil sebelum ke peringkat seterusnya sehingga ke peringkat pembinaan tugunya kelak.
“Bagaimanapun, usaha ini bergantung dengan dana kerana kosnya besar,” ujarnya.
Tambahnya, Balang adalah lambang keberanian dan kepimpinan kepada masyarakat Iban di Katibas.
“Kita akan membawa naratif baharu, untuk memperbetulkan naratif negatif penulis atau pengkaji luar sebelum ini,” tegasnya.
Beliau memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi dan kementerian kerajaan negeri mahupun pusat yang berkaitan dengan warisan, pelancongan, budaya dan adat istiadat.
“Selain itu, kita bercadang untuk mengadakan seminar atau wacana ilmu supaya perkara ini dapat dibincangkan dengan lebih teliti bagi mengaitkan serta merungkai mengenai sejarah Balang.
“Dengan kerjasama serta sokongan semua pihak terlibat, kita berharap usaha ini dapat dijalankan dengan lancar dan berjaya,” kata beliau lagi.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datu Dr Neilson Ilan Mersat.
Oleh Akun Giman