
KOTA SAMARAHAN: Projek penggantian paip bagi menangani isu bekalan air di kawasan Samarahan, termasuk Kampung Baru, dijangka dimulakan hujung bulan April ini bagi memastikan sistem pengairan lebih teratur dan mencukupi untuk penduduk.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, masalah air di Kampung Baru yang pernah ditangani sebelum ini kembali timbul susulan pertambahan penduduk.
“Dulu pintu rumah cuma dalam 500 ke 600 buah, kini telah mencapai lebih 1,000 buah. Sudah semestinya ia menjejaskan sistem bekalan air di Kampung Baru.

“Tambahan pula, kawasan sekitar turut menampung permohonan baharu dan sumber air kini dikongsi kepada lebih banyak kawasan dan rumah, menyebabkan tekanan tambahan kepada sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kota Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan menjelaskan bahawa isu lama telah ditangani, namun kini muncul isu baru berkaitan permohonan baharu dan jajaran baharu yang perlu dibekalkan air.

“Bagi menangani masalah ini, kerajaan negeri telah memutuskan beberapa pendekatan, antaranya melalui projek penggantian paip bernilai RM300 juta yang diluluskan untuk seluruh kampung-kampung di Samarahan.
“Projek ini akan menjajarkan semula sistem paip di Kampung Baru dan kawasan sekitarnya serta menampung keperluan permohonan baharu,” jelas beliau.
Tambah beliau, projek penggantian paip itu dijangka siap dalam tempoh 12 bulan. Secara tidak langsung, sistem pengairan dan bekalan air dapat diperbaiki dengan lebih baik.
“Sarawak Water juga telah mengambil langkah untuk membina high level tank bagi menampung keperluan kawasan perindustrian dan perumahan,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa bekalan air di Kampung Baru dan kawasan sekitarnya tidak boleh bergantung kepada satu sumber sahaja.
“Kita telah bersetuju menggunakan tiga sumber paip, iaitu sistem 800 dan 600, bagi memastikan aliran masuk air stabil dan berkesan.
“Saya ingin turut menyeru penduduk Kampung Baru dan kawasan sekitarnya supaya memberi kerjasama kepada Sarawak Water bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada semua pihak,” ujarnya.
Penduduk Kampung Baru sebelum ini menghadapi tekanan air rendah akibat paip lama yang tidak mampu menampung aliran semasa dan penggunaan individu yang tinggi, menyebabkan bekalan air ke hujung kampung terganggu, dan isu ini akan diatasi melalui projek penggantian paip bernilai lebih RM300 juta yang dijangka siap dalam 12 bulan.
Oleh Masrin Affirah