SERIAN: Projek Pencawang Serian 275/(132)/33 kV dijangka meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Bahagian Serian menerusi penambahan kapasiti bagi memenuhi permintaan semasa dan pembangunan masa hadapan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi diberi taklimat mengenai perkembangan projek itu ketika mengadakan lawatan kerja ke Serian hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan oleh pasukan Sarawak Energy diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad, Yusri Safri, yang menerangkan kemajuan projek serta penambahbaikan yang bakal dibawa kepada rangkaian elektrik tempatan.
Menurut kenyataan Sarawak Energy hari ini, pembinaan Pencawang Serian itu bermula pada 1 Disember 2025 dan dijangka siap serta mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2028.
“Setakat Jun 2026, projek berkenaan telah mencapai kemajuan sebanyak 12 peratus dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.
“Apabila siap kelak, pencawang berkenaan akan membolehkan bekalan elektrik tambahan disalurkan daripada grid utama bagi memenuhi keperluan semasa dan pertumbuhan permintaan di kawasan Serian, Tebedu serta Gedong,” katanya.
Mengulas lanjut, projek itu juga dijangka meningkatkan kualiti bekalan elektrik, menangani isu voltan rendah sedia ada serta mengurangkan risiko gangguan bekalan di kawasan terlibat.
“Kapasiti tambahan yang disediakan menerusi projek berkenaan akan menyokong pembangunan di bawah Pelan Induk Serian selain projek negeri dan Persekutuan yang bakal dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Selain itu, kemudahan berkenaan turut memastikan rangkaian elektrik di Bahagian Serian bersedia menyokong pertumbuhan jangka panjang termasuk usaha membangunkan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan.
“Projek Pencawang Serian merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak bersama Sarawak Energy dalam memperkukuh infrastruktur elektrik serta memastikan kapasiti bekalan mencukupi untuk keperluan masyarakat dan pembangunan negeri,” jelasnya.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bersama Sarawak Energy akan terus bekerjasama dalam meningkatkan kebolehpercayaan bekalan serta daya tahan rangkaian elektrik di seluruh Sarawak.




