
SARATOK: Projek pembinaan Tebingan Saratok di Tebingan Sungai Krian bakal muncul sebagai mercu tanda baharu di daerah ini apabila projek yang sekian lama dinantikan penduduk setempat dijangka direalisasikan tidak lama lagi melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek berimpak tinggi itu bukan sahaja melibatkan pembangunan fizikal semata-mata, malah dijangka menjadi pemangkin kepada perubahan landskap ekonomi dan sosial di Saratok.
Menurut beliau, pembinaan tebingan berkenaan dirancang secara teliti bagi memastikan pembangunan di kawasan Sungai Krian dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat selain menjadikannya sebagai destinasi tumpuan baharu.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Khas Perbincangan Pembinaan Tebingan Saratok dan Projek Bina Baharu Parit di sebelah Pejabat Daerah Saratok yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid di Bilik Mesyuarat Perpustakaan Awam Saratok, semalam.

Mesyuarat tersebut memfokuskan kepada perancangan pembinaan Tebingan Saratok yang akan dilaksanakan di Tebingan Sungai Krian di bawah pelaksanaan BDDA serta melibatkan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
Antara agensi yang hadir termasuk Majlis Daerah Saratok, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Tanah dan Survei serta juruperunding TCS selain Ahli-Ahli Majlis Daerah Saratok bagi membincangkan aspek teknikal dan pelaksanaan projek tersebut.
Dalam mesyuarat itu juga, beberapa perkara turut dibincangkan termasuk isu penjaja harian seperti peniaga sayur-sayuran, kuih-muih serta kedai minuman yang lokasi perniagaan mereka bakal terlibat dengan pembinaan projek tebingan berkenaan.
Bagi memastikan peniaga terlibat tidak terjejas, lokasi pemindahan sementara telah dikenal pasti dan penempatan gerai baharu akan dibina di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa.
Mengulas lanjut, Mohamad Duri berkata peniaga yang mempunyai lesen juga akan ditempatkan di medan niaga baharu yang akan dibangunkan dalam projek Tebingan Saratok setelah pembinaan siap sepenuhnya.
Beliau turut berharap semua agensi kerajaan, peniaga serta pihak berkepentingan dapat memberikan kerjasama bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Tambah beliau, pembinaan tebingan itu juga dijangka merancakkan sektor pelancongan tempatan apabila kawasan Sungai Krian berpotensi menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara seperti Regata dan lumba perahu.
Selain projek tebingan, mesyuarat tersebut turut membincangkan cadangan pembinaan sistem perparitan baharu dari Taman Muhibbah melalui kawasan sebelah Pejabat Daerah Saratok bagi mengatasi masalah banjir kilat di Pasar Saratok yang dijangka akan ditender dalam masa terdekat oleh Majlis Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman