
SELANGAU: Kawasan Selangau bakal menerima pelbagai projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MIRRDA) bagi memperluas peluang ekonomi dan memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar di wilayah tengah Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata, pelaksanaan projek di bawah agensi tersebut sejajar dengan komitmen kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak untuk memperkasa ekonomi luar bandar, termasuk di kawasan Selangau yang menjadi nadi kepada Daerah Tamin.
“Kerajaan Sarawak sentiasa memberi tumpuan kepada usaha membangunkan luar bandar termasuk dalam aspek jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, capaian internet, pendidikan dan ekonomi rakyat.
“Kawasan Selangau juga bakal menerima pelbagai projek di bawah MIRRDA bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar,” katanya semasa berucap pada majlis Penangguhan Karnival Selangau 2025 di pekan Selangau, kelmarin.

Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek tersebut akan memperkukuh jaringan infrastruktur dan seterusnya menjadikan Selangau sebagai pusat pertumbuhan baharu di zon tengah Sarawak.
“Saya yakin dengan semangat bersatu, berdaya maju dan berinovasi, Selangau akan terus berkembang sebagai pusat pembangunan baharu di wilayah tengah negeri,” katanya.
Gira turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan dan semangat komuniti setempat dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan kerajaan negeri.
Beliau berkata, penganjuran Karnival Selangau 2025 bukan sahaja menjadi wadah hiburan rakyat, malah platform penting memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum serta meningkatkan aktiviti sosioekonomi tempatan.
“Penganjuran seperti ini menggambarkan semangat kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk menjadikan daerah luar bandar seperti Selangau lebih maju, berdaya saing dan sejahtera,” jelasnya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan karnival berkenaan termasuk peserta pertandingan Keling dan Kumang Ngepan Iban, sukan rakyat serta pelbagai aktiviti komuniti.
Turut hadir Senator Rita Sarimah Insol, Pegawai Daerah Selangau Yalin Assan, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai, Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei dan Pengerusi Jawatankuasa Karnival Selangau 2025 Kaunselor David Entulu.
Oleh Tarani Lanting