

Dayang Noorazah semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Skop dan Reka Bentuk Projek DUN Lingga bersama agensi pelaksana dekat sini semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Lingga
BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menegaskan komitmen beliau untuk memastikan setiap projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dapat berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Skop dan Reka Bentuk Projek DUN Lingga bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, Majlis Daerah Betong (MDB) serta agensi berkaitan di Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam.
Antara projek utama yang dibincangkan termasuk pembinaan baharu Pusat Pembangunan Wanita dan Ibu di Kampung Triso yang dikendalikan JKR yang kini menunggu kelulusan Sistem Pengurusan Pembangunan dan Perancangan Negeri (eSPA), serta pembinaan Pusat Komuniti JKKK Kampung Triso (JKR) yang turut menunggu kelulusan sama.


Dayang Noorazah semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Skop dan Reka Bentuk Projek DUN Lingga bersama agensi pelaksana dekat sini semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Lingga
Selain itu, projek Dataran Budaya serta kerja berkaitan di Maludam (MDB) berada di peringkat penilaian petender dan dijangka diserah untuk pelaksanaan pada suku keempat 2025.
Bagi Projek Tebatan Banjir Maludam (DID Sarawak), reka bentuk sedang disiapkan oleh juruperunding, manakala Projek Perparitan dan Sistem Saliran (DID Sarawak) masih di peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada suku pertama 2026.
Dayang Noorazah menegaskan, semua projek tersebut dirancang dengan teliti agar memberi impak langsung kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan prasarana komuniti, mengurangkan risiko banjir, serta memperkukuh kesejahteraan penduduk.
“Saya berharap semua projek yang dirancang dapat dipermudahkan proses pelaksanaannya sehingga siap sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
“Terima kasih saya rakamkan kepada semua agensi yang telah menunjukkan kerjasama erat serta usaha berterusan dalam merealisasikan agenda pembangunan ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan khusus kepada agensi-agensi yang terlibat dalam membantu menyelesaikan isu utama di Kampung Maludam, yang sekian lama membelenggu penduduk dan kini hampir menemui jalan penyelesaian.
Tambahnya, kerajaan negeri komited memastikan pembangunan seimbang dan menyeluruh di kawasan Lingga, sejajar dengan aspirasi Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.
Oleh Adi Safarman