
PANTU: Projek perparitan bernilai RM285,000 di Rumah Jampang, Munggo Sawa Ulu yang telah siap dilaksanakan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, khususnya dalam mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, projek berkenaan merupakan salah satu inisiatif di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, sistem saliran yang lebih terancang dan efisien amat penting bagi memastikan aliran air lebih lancar, sekali gus mengelakkan kejadian air bertakung yang boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk.
“Projek ini bukan sahaja membantu mengurangkan risiko banjir, malah turut meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan persekitaran komuniti setempat,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut semalam.

Doris menambah bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memastikan keperluan asas masyarakat luar bandar diberi perhatian sewajarnya melalui pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa pemantauan berkala akan terus dilaksanakan bagi memastikan kemudahan yang telah dibina sentiasa berada dalam keadaan baik serta berfungsi secara optimum.
Penduduk Rumah Jampang turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas pelaksanaan projek tersebut, yang dilihat mampu menyelesaikan masalah banjir yang sering dihadapi sebelum ini.
Projek perparitan ini sekali lagi membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, selaras dengan agenda pembangunan luar bandar yang lebih inklusif dan mampan.
Oleh Adi Safarman