Fasa 1 projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dari Telok Melano, Lundu ke Miri, sudah 88 peratus siap setakat 26 Oktober lalu.
Kerja pembinaan LPB yang dimulakan pada 2015 dengan kos sekitar RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja. Kini antara fasa yang hampir siap sepenuhnya ialah dari Serian ke Sri Aman.
Pemanduan di LPB ialah bebas tol atas inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kini semakin lancer pembinaannya.
Jejambat Betong sudah siap sepenuhnya, melancarkan lagi perjalanan, untuk keluar masuk ke Betong berbanding sebelum ini.
Begitu juga persimpangan bertingkat Sri Aman sepanjang satu kilometer yang sudah siap sepenuhnya dengan kos RM28.8 juta.
Ia dirasmikan Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof pada 4 September lalu.
Persimpangan bertingkat Sri Aman itu mula dibina pada 1 September 2016 dan dibuka kepada orang ramai mulai 30 Ogos lalu.
Ia mampu membantu menyuraikan trafik dari arah Serian ke Sri Aman dan Betong untuk bergerak dengan lebih selesa dan selamat.
Malah, ia bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya seperti Lachau, Temudok, Sri Aman, Engkilili dan Skrang dengan akses jalan raya yang lebih baik.
Pada Mei lalu, Jejambat Batu 10 mula digunakan, sekali gus memudahkan aliran trafik antara Kuching ke Padawan dan Siburan.
Projek ini sudah bermula pada 1 November 2016 dengan kos keseluruhan berjumlah RM323 juta termasuk jejambat Batu 4 ½, Batu 6 dan Batu 7.
JALAN PESISIR TINGKAT EKONOMI PENDUDUK
Rakyat Sarawak yang tinggal di pesisir pantai juga tidak diabaikan, turut merasa arus pembangunan apabila kerajaan membina jalan pesisir pantai termasuk tujuh jambatan utama yang mana cukup mengembirakan buat mereka.
Jalan sepanjang 900 kilometer itu, bukan sahaja memberi alternatif kepada orang ramai. Malah ia juga dijangka memendekkan lagi jangka masa pemanduan kepada hanya sekitar lima atau empat jam dari Kuching ke Sibu.
Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025 itu juga sebahagian daripada agenda kerajaan dalam membangunkan kawasan pesisir pantai dan luar bandar.
Paling penting pembinaan jalan berkenaan akan memastikan kawasan pesisir pantai dan luar bandar dibuka untuk pembangunan.
Sekali gus mengubah kegiatan ekonomi penduduk dan seterusnya menaikkan taraf hidup rakyat di pesisir pantai.