Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Projek naik taraf Taman Rekreasi Bintangor dijangka siap dalam 10 bulan
  • Tengah
  • WILAYAH

Projek naik taraf Taman Rekreasi Bintangor dijangka siap dalam 10 bulan

Utusan Sarawak 2 days ago
SAKSI… Datuk Ding Koung Hiing menyaksikan majlis penyerahan naik taraf Taman Rekreasi Bintangor. Foto Facebook Datuk Ding Koung Hiing

BINTANGOR: Taman rekreasi Bintangor bakal melalui fasa transformasi baharu menerusi pelaksanaan projek naik taraf bernilai RM4 juta yang dijadualkan siap dalam tempoh 10 bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata projek tersebut merupakan projek pertama yang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bagi kawasan Bintangor.

“Pihak majlis (Majlis Daerah Meradong dan Julau) akan memantau perkembangan kerja dari semasa ke semasa bagi memastikan kontraktor menyiapkannya mengikut jadual ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan majlis ringkas penyerahan projek naik taraf kemudahan awam tersebut, semalam.

Katanya, pemantauan rapi amat penting bagi memastikan kualiti kerja memenuhi spesifikasi yang ditetapkan serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat awam.

Koung Hiing turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan kawasan taman rekreasi tersebut buat sementara waktu sepanjang tempoh pembinaan demi keselamatan.

“Orang ramai disaran menggunakan kemudahan riadah di kompleks berhampiran sementara kerja naik taraf ini dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, antara komponen utama projek tersebut termasuk kerja-kerja pengubahsuaian tandas awam, rumah kelab serta laluan trek joging di dalam kawasan taman rekreasi.

“Selain itu, kerja naik taraf turut melibatkan pembaikan jambatan kecil termasuk jambatan mini berwarna merah yang terdapat di dalam taman tersebut.

“Projek ini juga merangkumi pembinaan sebuah pentas berbentuk arena bagi tujuan aktiviti sukan dan senaman, lengkap dengan bumbung sebagai perlindungan kepada pengguna,” katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan bahawa kemudahan taman permainan kanak-kanak dimasukkan dalam skop projek bagi memastikan taman rekreasi tersebut mesra keluarga dan sesuai digunakan oleh semua lapisan masyarakat.

“Sekiranya terdapat lebihan peruntukan selepas projek siap dilaksanakan, pihak kami berharap dapat menambah komponen lain yang perlu dan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, khususnya di Bintangor,” katanya.

Koung Hiing juga yakin projek naik taraf tersebut akan meningkatkan kualiti kemudahan awam serta menjadikan taman rekreasi Bintangor sebagai ruang riadah yang lebih selesa, selamat dan inklusif kepada komuniti setempat.

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Bomba Bintangor terus pantau kawasan berisiko banjir semasa monsun timur laut
Next: Kompleks Sukan Bintangor terima suntikan RM3.5 juta bagi fasa kedua

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.