
SARATOK: Penduduk Kampung Paloh di DUN Kalaka kini boleh menarik nafas lega selepas projek menaik taraf sistem pengairan bernilai RM1.681 juta siap sepenuhnya, membuka lembaran baharu bagi pembangunan sektor pertanian tempatan.
Projek tersebut adalah salah satu inisiatif di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Betong.
Ia turut membabitkan kerja menaik taraf pintu air serta sistem saliran berkaitan dan telah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal oleh syarikat kontraktor Tapih Maju Enterprise.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, menyifatkan projek tersebut sebagai pemangkin kepada kebangkitan semula ekonomi penduduk luar bandar yang sebelum ini terjejas akibat banjir berulang.
“Syukur Alhamdulillah, projek yang amat dinantikan ini telah pun siap. Kawasan yang sebelum ini kerap dinaiki air hingga merosakkan tanaman, kini sudah memiliki sistem pengairan yang lebih baik.
“Ini akan membuka ruang kepada lebih banyak aktiviti pertanian dan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Pada majlis penyerahan tapak projek yang telah siap, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka hadir hari ini sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan projek berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohamad Duri turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen tinggi terhadap pembangunan luar bandar.
“Saya amat bersyukur kerana Premier Sarawak telah menyalurkan dana berjumlah RM1.5 bilion kepada BDDA untuk dibahagikan kepada semua ADUN di Bahagian Betong. Dana ini amat penting untuk merancakkan lagi pelaksanaan projek-projek pertanian yang mampan dan menyeluruh,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Paloh, Abang Morsidi Abang Busrah turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada ADUN Kalaka atas keprihatinan terhadap keperluan rakyat luar bandar, khususnya dalam usaha menghidupkan semula aktiviti pertanian di kawasan yang sebelum ini dianggap tidak lagi berpotensi.
“Dulu kami fikir tanah di sini tiada harapan untuk bertanam lagi, tetapi sekarang kami sudah mula melihat sinar harapan. Terima kasih YB Mohamad Duri dan semua pihak yang merealisasikan projek ini,” katanya.
Oleh Adi Safarman