
SIBU: Masalah perparitan serta kejadian banjir kilat yang berlarutan di kawasan Sungai Sadit dijangka dapat ditangani menerusi pelaksanaan projek naik taraf pembetung di Lorong 3, Nam Ping Chiong, di sini, hari ini.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, projek berkenaan telah diserahkan secara rasmi kepada kontraktor yang dilantik di bawah peruntukan Khas Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Bawang Assan, sekali gus menandakan permulaan pelaksanaan projek infrastruktur tersebut.
“Kebimbangan penduduk sebelum ini telah disuarakan oleh Kapitan Chew Hoo Kiong berhubung pembetung sedia ada yang terlalu sempit dan tidak mampu menampung aliran air, terutama ketika musim hujan.
“Keadaan itu menyebabkan aliran air sisa menjadi perlahan, sekali gus mewujudkan takungan dan mengakibatkan kejadian banjir kilat yang kerap,” katanya.
Lau berkata, aliran air yang kuat secara berterusan turut mengakibatkan hakisan tanah di kedua-dua sisi pembetung, menyebabkan laluan jalan semakin sempit dan menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk serta pengguna jalan raya.
Beliau menambah, perbincangan bersama jurutera Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah bermula seawal Julai tahun lalu bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang yang sesuai untuk menangani punca sebenar masalah tersebut.
“Dengan pelantikan kontraktor, projek ini akhirnya dapat dilaksanakan dan ini merupakan satu perkembangan yang amat melegakan,” katanya.
Dalam pada itu, Lau menggesa penduduk setempat agar terus memberikan kerjasama kepada semua pihak terlibat bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan memantau rapi perkembangan projek serta melakukan pemeriksaan akhir selepas siap bagi memastikan mutu pembinaan menepati spesifikasi yang ditetapkan.
Lau yakin, apabila projek naik taraf pembetung ini siap sepenuhnya kelak, sistem pelepasan air di kawasan berkenaan akan bertambah baik, risiko banjir dapat dikurangkan secara signifikan, serta tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk akan meningkat.
Oleh Tarani Lanting