
SIBU: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menegaskan bahawa projek naik taraf laluan papan di Taman Rimba Bukit Lima sedang giat dijalankan dan bukan terabai seperti yang didakwa dalam laporan tertentu.
Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, kerja-kerja naik taraf itu adalah sebahagian daripada pelan induk yang dirancang secara teliti bagi memastikan pembangunan mampan tanpa menjejaskan ekosistem taman berkenaan.
“Naik taraf laluan papan di Bukit Lima adalah keutamaan SFC. Kami komited untuk memastikan projek ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengunjung tetapi juga memelihara persekitaran semula jadi yang menjadikan taman ini istimewa.
“Pendekatan secara berfasa membolehkan kami melaksanakan kerja dengan gangguan minimum kepada pelawat dan hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut SFC, projek itu dirancang secara berperingkat bagi memastikan proses naik taraf berjalan lancar serta mengurangkan gangguan kepada pengunjung dan habitat semula jadi.
Dalam usaha tersebut, SFC turut melibatkan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memastikan kerja-kerja pemulihan memenuhi piawaian keselamatan serta pemuliharaan alam sekitar.
Bagi memastikan ketelusan dan pematuhan kepada prosedur peraturan, fasa pertama pelan induk telah ditender mengikut garis panduan perolehan kerajaan.
Projek itu dijangka siap tahun ini, sekali gus memberikan pengalaman lebih selamat dan selesa kepada pengunjung.
SFC menegaskan bahawa pihaknya kekal komited dalam pemuliharaan serta pengurusan bertanggungjawab terhadap Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas, TPA), termasuk Taman Rimba Bukit Lima.
SFC turut menghargai kesabaran serta sokongan orang ramai sepanjang tempoh pelaksanaan projek itu dan menggalakkan pengunjung untuk terus menikmati keindahan semula jadi Bukit Lima dengan penuh tanggungjawab.
Terdahulu, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, menggesa Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) agar menaik taraf sepenuhnya laluan papan kayu di taman berkenaan bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengunjung.
Wong menyuarakan kebimbangan bahawa laluan papan kayu yang semakin uzur akibat penyelenggaraan yang tidak mencukupi dan kesan hujan lebat telah menimbulkan risiko keselamatan.
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa peruntukan sekurang-kurangnya RM5 juta diperlukan untuk kerja-kerja naik taraf menyeluruh, berbanding pembaikan kecil secara berperingkat.
Oleh Tarani Lanting