BINTULU: Projek naik taraf jeti Kampung Jepak Hulu di sini bakal bermula pada awal Oktober ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
Pembantu peribadi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Shahrezy Sulaiman berkata, projek bernilai RM100,000 itu adalah salah satu Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan DUN Jepak.
Menurutnya, projek seumpama itu merupakan inisiatif penting untuk penduduk Kampung Jepak Hulu, yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan nelayan.
“Kerja-kerja naik taraf ini diharapkan akan meningkatkan kemudahan untuk penduduk,” katanya selepas melakukan tinjauan di tapak RTP tersebut di sini hari ini.
Beliau berharap projek itu akan memudahkan kehidupan seharian penduduk, terutama golongan nelayan yang sangat bergantung pada jeti untuk aktiviti mereka.