
KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf Jalan Ulu Skrang di Bahagian Sri Aman, yang bernilai RM300 juta kini berada di peringkat Tender Terbuka Pra-Kelayakan (TTPK) secara reka dan bina, dengan proses tender kedua dijadual ditutup pada 14 Julai tahun ini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan perkara itu dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan yang tidak sempat dijawab di Dewan Rakyat, susulan soalan dikemukakan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, mengenai status terkini projek berkenaan.
Menurut kementerian, projek menaik taraf bekas Jalan Ulu Skrang itu telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3 RMK-12) Tahun 2023 dengan kos keseluruhan RM300 juta, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dilantik sebagai agensi pelaksana.
Skop projek melibatkan menaik taraf jalan sepanjang 43 kilometer mengikut spesifikasi JKR R1 serta pembinaan empat jambatan konkrit, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna di laluan utama yang menghubungkan penempatan penduduk di Ulu Skrang.
Kementerian memaklumkan, projek berkenaan sebelum ini telah melalui pusingan tender pertama yang selesai pada 4 Oktober 2025, sebelum ditender semula pada 12 Mei 2026.
“Status semasa projek adalah di peringkat Tender Terbuka Pra-Kelayakan (TTPK) (Reka dan Bina) dan tender kedua akan ditutup pada 14 Julai 2026,” menurut jawapan kementerian.
Tempoh pelaksanaan projek ditetapkan selama 48 bulan, dengan projek dijangka siap sepenuhnya pada November 2030.
Projek itu amat dinantikan penduduk setempat memandangkan Jalan Ulu Skrang merupakan laluan utama yang digunakan oleh masyarakat di kawasan berkenaan bagi urusan harian, ekonomi dan perhubungan.
Oleh Adi Safarman