
MARUDI: Penyerahan tapak bagi projek naik taraf jalan bernilai RM130 juta dijangka dilaksanakan pada 17 November ini dan akan mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, projek ini merupakan pelaksanaan Fasa 1, yang melibatkan kerja menaik taraf dan menurap jalan sepanjang kira-kira 23 kilometer, menggunakan spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) R1 standard, dari Simpang Lapok hingga ke Simpang Long Jegan.
“Fasa 2 pula, akan melibatkan kerja menaik taraf dari Simpang Long Jegan ke Long Tisam. Kerja pengiraan dan merekod tanaman milik penduduk yang terkesan akan dilaksanakan terlebih dahulu oleh Jabatan Tanah dan Survei, bersama-sama pemilik tanah dan ketua kampung masing-masing sebelum projek dimulakan secara fizikal,” katanya pada sesi dialog di Dewan Serbaguna Kampung Rh KK Wen Magelit Lapok semalam.

Beliau turut menggesa semua penduduk agar sentiasa bekerjasama dengan pihak JKR dan kontraktor demi memastikan projek yang telah lama dinantikan ini dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Saya juga berharap sebarang isu yang timbul hendaklah disalurkan melalui ketua kampung, dan seterusnya akan disampaikan kepada pihak Pejabat Daerah dan JKR,” katanya.
Tambah beliau, terdapat beberapa lagi projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, antaranya termasuk, pembinaan sebuah jambatan di Long Teran, penurapan jalan masuk ke Long Tabing, Long Teran, Long Takong, dan beberapa kawasan lain.
Sesi dialog tersebut melibatkan JKR dan Jabatan Tanah dan Survei Miri bersama Ketua-Ketua Kaum dan wakil Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung sekitar Lapok, Long Tabing, Long Teran, Long Jegan, Long Takong, dan Long Tisam bagi pelaksanaan Projek Menurap Jalan Ulu Tinjar, dari Simpang pekan Lapok sehingga Kampung Long Tisam.
Turut hadir, wakil Pengarah JKR Sharil, Jurutera JKR Bahagaian Miri Stephen Ung, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai, wakil Jabatan Tanah dan Survey Miri, wakil JBALB serta Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum.
Oleh Jiku Juguong