
BINTANGOR: Projek naik taraf Jalan Ladang Pertanian (JLP) Skim Hulu Sungai Baung di Tulai yang dilaksanakan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah siap sepenuhnya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata pelaksanaan projek tersebut merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan asas di kawasan luar bandar, khususnya bagi menyokong aktiviti pertanian penduduk setempat.
“Kemudahan jalan ladang yang lebih baik amat penting dalam memastikan penduduk dan pengusaha pertanian dapat menjalankan aktiviti harian dengan lebih mudah dan selesa.
“Peningkatan prasarana seperti jalan ladang turut membantu mempercepatkan proses pengangkutan hasil pertanian ke pasaran sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Katanya, projek tersebut amat penting bagi menyokong pembangunan sektor pertanian di kawasan luar bandar dan memudahkan pergerakan penduduk dalam menjalankan aktiviti harian mereka.
Hadir bagi mewakili beliau bagi menyaksikan pengesahan siap kerja projek naik taraf ini ialah Wong Soon Mee.
Pengesahan siap projek ini turut dihadiri oleh Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarikei, Regina Leni.
Tambah beliau, pelaksanaan projek pembangunan seperti ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan daripada menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
Beliau berharap kemudahan jalan yang dinaik taraf itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat, khususnya para petani dalam meningkatkan produktiviti serta memudahkan akses ke kawasan ladang.
Katanya lagi, usaha menaik taraf prasarana luar bandar khususnya di Parlimen Sarikei dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok akan terus diberi perhatian agar kesejahteraan masyarakat serta pembangunan ekonomi setempat dapat diperkasakan secara berterusan.
Oleh Earl Anek