

SIBU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu mengesahkan projek menaik taraf jalan kubur, Kampung Sebentik sudah hampir siap.
Projek berkenaan dilaksanakan di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Tamin dengan kos RM100,000 bagi meningkatkan kemudahan asas penduduk luar bandar.
Menurut JKR Bahagian Sibu, kerja menaik taraf itu dilaksanakan mengikut spesifikasi 705 meter panjang, 3.5 meter lebar dan 0.2 meter tebal iaitu memenuhi spesifikasi standard bagi memastikan struktur jalan lebih kukuh serta memberi keselesaan kepada penduduk setempat.
Sehubungan itu, Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defects Liability Period) bermula 6 Oktober 2025 hingga 5 April 2026, di mana kontraktor bertanggungjawab melakukan pembaikan jika diperlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata jalan tersebut merupakan laluan penting bagi komuniti Kampung Sebentik.
“Jalan kubur ini adalah kemudahan penduduk di kawasan Sebentik dan peningkatannya penting bagi memastikan mereka menikmati akses lebih baik serta perjalanan lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata usaha pembangunan infrastruktur luar bandar akan terus diberi tumpuan bagi memastikan manfaatnya dirasai rakyat.
“Infrastruktur yang baik adalah asas kepada peningkatan kesejahteraan rakyat dan menyokong kemajuan kawasan DUN Tamin,” katanya.
Oleh TARANI LANTING