

SARIKEI: Pasukan Pusat Khidmat Repok telah mengadakan lawatan tapak ke Jalan Hua Sing dan Rumah Mawan Wass, Jalan Hung Nong di kawasan Jakar, bagi menilai keperluan projek menaik taraf jalan di kawasan tersebut, semalam.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, berkata lawatan tapak ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur asas luar bandar terus dipertingkat dari semasa ke semasa.
“Kemudahan asas seperti jalan yang baik untuk digunakan bukan sahaja meningkatkan keselesaan penduduk, tetapi juga merancakkan kegiatan ekonomi dan sosial komuniti setempat.
“Kerajaan Sarawak melalui wakil rakyat sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan rakyat, terutama yang melibatkan infrastruktur asas seperti jalan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, usaha menaik taraf jalan di kawasan Jakar tersebut akan memberi manfaat langsung kepada penduduk sekitar yang bergantung pada jalan ini untuk urusan harian, termasuk ke sekolah, tempat kerja dan menjalankan aktiviti pertanian.
“Kita mahu setiap kampung dan rumah panjang mempunyai kemudahan yang baik supaya kesejahteraan rakyat terus terjamin.
“Lawatan tapak ini penting bagi menilai keadaan sebenar di lapangan, mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk dan memastikan setiap projek yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan semasa.
“Setiap aduan dan cadangan daripada masyarakat akan diambil kira dalam perancangan pembangunan seterusnya bagi memperkukuh agenda pembangunan seimbang di Parlimen Sarikei dan Repok,” katanya.
Oleh Earl Anek