
SIMUNJAN: Usaha menambah baik kemudahan awam di Daerah Simunjan terus dipergiat dengan pelaksanaan projek pemasangan bumbung baharu di Esplanade di sini yang dimulakan secara rasmi, hari ini.
Majlis perasmian projek disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, hari ini.
Projek bernilai RM2,184,400 itu dijadualkan siap dalam tempoh sembilan bulan, iaitu menjelang 6 April 2026. Ia merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak bagi memperkasakan kemudahan rekreasi luar bandar, selaras dengan agenda pembangunan seimbang antara bandar dan pedalaman.
“Esplanade Simunjan adalah nadi pertemuan masyarakat iaitu tempat keluarga bersantai, anak muda beriadah dan komuniti berkumpul. Penambahbaikan seperti pemasangan bumbung ini amat penting bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengunjung sepanjang masa,” ujarnya.
Beliau berkata, struktur bumbung baharu itu bukan sahaja melindungi daripada hujan dan panas, malah membolehkan pelbagai aktiviti berskala besar dijalankan sepanjang tahun, termasuk program kerajaan, sambutan perayaan, acara komuniti dan keagamaan.
Awla turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Daerah Simunjan selaku agensi pelaksana serta kontraktor terlibat atas komitmen mereka, sambil menggesa masyarakat setempat memberi kerjasama demi kelancaran pembinaan.
“Kita percaya, apabila siap kelak, Esplanade ini bukan sekadar lokasi riadah, malah mampu berkembang menjadi ruang ekonomi komuniti melalui gerai makanan, peluang niaga, dan penganjuran program sosial serta budaya yang lebih meriah,” katanya.
Majlis pelancaran turut disertakan dengan taklimat teknikal ringkas oleh pihak kontraktor, yang memperincikan pelan pelaksanaan projek termasuk penggunaan struktur tahan cuaca, reka bentuk mesra komuniti, serta penambahbaikan kawasan dan tempat duduk awam.
Beliau turut menyaksikan sesi simbolik penyerahan dokumen pelaksanaan projek daripada pihak Majlis Daerah Simunjan kepada kontraktor terpilih, sebagai tanda bermulanya kerja pembinaan secara rasmi.
Turut hadir Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak, wakil jabatan teknikal, pemimpin masyarakat, agensi pelaksana serta penduduk setempat.