
SARATOK: Penduduk Kampung Kupang bakal menikmati kemudahan prasarana yang lebih selesa dan kondusif susulan pelaksanaan projek naik taraf Dewan Serbaguna Kampung Kupang yang kini sedang rancak berjalan.
Projek tersebut dilaksanakan di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kemudahan dewan tersebut amat signifikan bagi penduduk setempat memandangkan ia merupakan pusat utama bagi aktiviti sukan serta pelbagai program komuniti yang dirancang sepanjang tahun.
Menurut beliau, projek naik taraf ini kini telah memasuki fasa kedua yang merangkumi beberapa komponen penting iaitu pemasangan bekalan elektrik dan air yang lebih sempurna, pembinaan pagar di sekeliling kawasan dewan dan kerja-kerja teknikal dan kemudahan lain yang berkaitan.

”Dewan Serbaguna ini sangat penting bagi penduduk Kampung Kupang untuk menjalankan aktiviti sukan dan pelbagai program yang telah dirancang.
“Kita mahu pastikan mereka mempunyai ruang yang kondusif untuk beraktiviti,” katanya semasa melakukan tinjauan tapak bagi memantau perkembangan terkini pelaksanaan projek berkenaan di Kampung Hulu Kupang, dekat sini semalam.
Dalam tinjauan tersebut, Mohamad Duri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan agenda pembangunan di DUN Kalaka berjalan lancar.
”Terima kasih kepada semua pihak, terutamanya pihak kontraktor dan agensi pelaksana yang komited memastikan projek ini berkualiti serta siap mengikut jadual yang telah ditetapkan,” tambahnya lagi.
Turut hadir mengiringi beliau dalam tinjauan tersebut ialah Penghulu Misis Aris, Kaunselor Aton Tar, serta Ketua Kaum Majenan Jamin dan Jepri Johari.
Oleh Adi Safarman