Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Projek mitigasi banjir Sungai Lutong Zon B perlu dipercepatkan
  • Utara
  • WILAYAH

Projek mitigasi banjir Sungai Lutong Zon B perlu dipercepatkan

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATUK Sebastian Ting Chiew Yew (tiga kanan) semasa mengadakan pertemuan dengan Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri yang baharu, Henry Tuah (empat kanan).

MIRI: Projek mitigasi banjir Sungai Lutong Zon B di sini, dianggarkan menelan kos sehingga RM50 juta, perlu disegerakan bagi mengatasi masalah banjir berulang yang kerap menjejaskan kawasan rendah di Lutong dan kawasan sekitarnya.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, projek berkenaan kini berada pada peringkat perancangan serta permohonan pembiayaan, dengan agensi berkaitan sedang menyediakan dokumen teknikal untuk dikemukakan di bawah rangka pembangunan kerajaan Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau menegaskan kepentingan memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan seawal mungkin sebaik semua kelulusan dan pembiayaan diperoleh.

“Masalah banjir di kawasan rendah sekitar Lutong telah berlarutan sekian lama dan memberi kesan besar kepada penduduk. Oleh itu, penyelesaian jangka panjang perlu dilaksanakan tanpa berlengah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri yang baharu, Henry Tuah serta pegawai-pegawai JPS bagi membincangkan kejadian banjir terkini di Miri dan meneliti kemajuan beberapa projek mitigasi banjir serta infrastruktur berkaitan.

Menurut taklimat JPS, projek mitigasi banjir Sungai Lutong Zon B melibatkan pembinaan kolam takungan dan naik taraf sistem perparitan di kawasan tadahan Sungai Lutong B.

Kawasan yang terlibat termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lutong, Kampung Sealine, Kampung Senadin Jaya, Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT) dan Desa Senadin.

Projek tersebut bertujuan meningkatkan kapasiti saliran secara menyeluruh bagi mengurangkan risiko banjir yang telah lama dihadapi penduduk di kawasan terbabit.

JPS memaklumkan, projek berkenaan dijangka dibuka untuk tender awam dalam tahun ini, tertakluk kepada kelulusan, dengan tempoh pelaksanaan dianggarkan selama 60 bulan selepas dimulakan.

Sebastian Ting turut menjelaskan bahawa perubahan iklim telah menyebabkan kejadian hujan lebat melampau dan banjir kilat berlaku dengan lebih kerap, khususnya di kawasan rendah sekitar Lutong dan Riam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Masalah banjir ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk, malah menyebabkan kerugian harta benda. Ia tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya.

Beliau menambah, skop dan kos projek mungkin disesuaikan sekiranya kerja mitigasi banjir tersebut diintegrasikan dengan pembangunan infrastruktur lain, termasuk rangkaian bekalan gas, bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan jangka panjang.

Dalam perkembangan lain, Sebastian Ting turut dimaklumkan mengenai beberapa projek perlindungan pantai di Miri yang dirancang di bawah peruntukan Persekutuan melibatkan lima projek dengan anggaran kos keseluruhan RM50 juta.

Antara projek yang dicadangkan ialah perlindungan pantai di Pantai Lutong yang melibatkan kerja penambahan pasir sepanjang 1.45 kilometer dan pembinaan benteng tanah sepanjang dua kilometer.

Projek lain termasuk pembinaan benteng batu di Pantai Kampung Bungai, Pantai Peliau Bungai dan Kampung Kuala Sibuti, masing-masing sepanjang kira-kira satu kilometer, serta Fasa Dua projek perlindungan pantai Pantai Bakam sepanjang 0.40 kilometer.

Menurut JPS, iklan prakelulusan bagi projek perlindungan pantai tersebut telah ditutup pada 8 Januari lalu dan kini berada pada pelbagai peringkat penilaian teknikal serta pentadbiran.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Program Derma Darah ‘Prihatin Komuniti 2026’ bantu tabung darah Hospital Miri
Next: Projek RTP 2025 DUN Tamin bermula di Rumah Panjang Nanga Alat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.