
BINTANGOR: Kerajaan terus memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur di Parlimen Sarikei melalui pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) yang menyasarkan kemudahan asas di peringkat akar umbi, khususnya bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata pelaksanaan projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperbaiki keadaan infrastruktur sedia ada yang digunakan oleh masyarakat setempat.
“Langkah ini diambil bagi melancarkan pergerakan harian penduduk serta mengurangkan risiko keselamatan akibat jalan yang rosak atau tidak berturap.
“Baru-baru ini, sesi pengesahan siap kerja bagi projek-projek ini telah dihadiri oleh Wong Soon Mee selaku wakil saya bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, antara projek penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuk pembinaan jalan konkrit di Jalan Yii Ung King, pembinaan jalan konkrit di Jalan Sheng En serta projek menaik taraf dan membina jalan konkrit di Jalan Tak Sing Lama di kawasan Jalan Darat Batu 2½ KJD
“Selain itu, satu lagi projek PMR turut dilaksanakan melibatkan penambahbaikan dan pembinaan papan konkrit di halaman Rumah Liman Ubak, Sungai Kesa bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk, khususnya ketika musim hujan dan keadaan cuaca tidak menentu.
“Pelaksanaan projek-projek PMR ini bukan sahaja memberi kemudahan fizikal kepada penduduk, malah mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan masyarakat di peringkat akar umbi, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Tambahnya, kerajaan akan terus menyalurkan peruntukan yang bersesuaian bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian, selaras dengan aspirasi pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar.
“Usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat tanpa mengira lokasi,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek