
BETONG: Usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur luar bandar terus dipergiat apabila dua Projek Mesra Rakyat (PMR) di kawasan Betong menjalani Lawatan Tapak bagi penyediaan Dokumen Senarai Kuantiti (BQ).
Lawatan tersebut merupakan lawatan tapak ketiga dan keempat, yang disertai oleh wakil Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), serta wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Betong.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, memaklumkan bahawa dua projek utama akan dilaksanakan, merangkumi kerja-kerja naik taraf prasarana serta pemasangan skrin LED dan sistem audio visual (PA) di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Betong dan Pejabat Daerah Betong.
“Projek ini merupakan langkah penting untuk memastikan kemudahan pentadbiran awam lebih moden dan cekap, bukan sahaja untuk penjawat awam tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat tempatan,” katanya.
Menurut Dr Richard, Projek Mesra Rakyat ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan di kawasan luar bandar menerusi penambahbaikan kemudahan asas dan infrastruktur sokongan.
Beliau turut menegaskan bahawa lawatan tapak ini penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta memenuhi keperluan semasa masyarakat setempat.
“Dengan wujudnya kemudahan lebih baik dan peralatan moden, kita percaya mutu perkhidmatan akan bertambah baik sekali gus meningkatkan produktiviti di peringkat daerah dan bahagian,” tambahnya.
Tambah beliau, lawatan tersebut turut membuka ruang kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan dalam merealisasikan aspirasi pembangunan menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat.
Oleh Adi Safarman