SRI AMAN: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) bagi Pakej Kerja WPC04 (simpang Pantu-Batang Skrang) dijangka siap sepenuhnya menjelang November tahun ini demikian menurut Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Menurut beliau, masalah struktur tanah yang tidak stabil di Seksyen Bukit Begunan menyebabkan jalan sedia ada direka bentuk semula dan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM70 juta.
“Kejadian tuntuhan tanah sebelum ini telah menyebabkan pihak kontraktor bertindak mereka bentuk semula jalan sedia melalui proses tambakan batu (rockfill) yang kini sudah mencapai status 50 peratus.
“Kita akan memohon kelulusan peruntukan itu (RM70 juta) di Kabinet nanti dengan keselamatan pengguna yang bakal menggunakan laluan di Seksyen Bukit Begunan nanti perlu dijadikan sebagai keutamaan,” kata beliau.
Alexander berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Lawatan Pemantauan Kementerian Kerja Raya Ke Pakej Kerja WPC04 Projek Lebuhraya Pan Borneo di Bukit Begunan di sini, hari ini.
Selain itu, beliau pada sidang media berkenaan juga memberitahu bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Pakej Kerja WPC04 tersebut sepatutnya dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun tahun ini.
“Sekarang pun jalan ini (Pakej WPC04) dah boleh lalu. Cuma yang tidak dapat pengguna kenderaan lalui buat masa kini ialah laluan inilah (Bukit Begunan) kerana disebabkan kerja tambakan batu ini.
“Bagaimanapun setakat ini saya amat berpuas hati terhadap perkembangan projek ini dan berharap agar kerajaan dapat melulus peruntukan (sebanyak RM70 juta) tersebut bagi memastikan kerja tambakan batu itu selesai,”katanya.
Terdahulu, Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Pakej Kerja WPC04 yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM1.6 bilion ini telah dibahagi pada Seksyen Bukit Begunan dan Seksyen Sri Aman.
Pada 25 Januari lepas, status siap projek bagi Seksyen Bukit Begunan dan Seksyen Sri Aman sudah mencapai 87.73 dan 89.11 peratus dengan jumlah panjang keseluruhan jajaran lebuh raya bagi Pakej Kerja WPC04 adalah 91.14 kilometer.
Turut dibina melalui pakej itu adalah satu kemudahan Persimpangan Bertingkat (Interchange) termasuk jejambat (Flyover), satu pusat rehat, 73 pondok bus, 46 kemudahan pusingan U, lima jejantas dan sembilan jambatan.
Oleh VALENTINE NGUMBANG