
SANTUBONG: Projek Pembinaan Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak (LISCS) di Santubong dan Projek Pembinaan Kemudahan Sukan Petra Jaya iaitu padang latihan golf dijangka siap pada Jun tahun ini.
Perkembangan tersebut dimaklumkan susulan lawatan kerja Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki ke dua tapak projek berkenaan hari ini bagi meninjau kemajuan serta status pelaksanaan pembangunan yang sedang berjalan.
Beliau berkata, bagi Projek Pembinaan LISCS di Santubong, fasa pertama dilaporkan hampir siap sepenuhnya dan fasa kedua yang melibatkan pemasangan perabot dan kerja reka bentuk dalaman pula dijadualkan siap pada penghujung Jun 2026.
Beliau yang juga Pengerusi LISCS menyasarkan agar bangunan berkenaan dapat mula digunakan pada Julai 2026, sebaik sahaja projek siap sepenuhnya.

“Setelah siap, ia akan menjadi kampus latihan yang kondusif bagi pembangunan bakat anggota perkhidmatan awam dengan pelbagai fasiliti seperti bilik kuliah, dewan, auditorium, kediaman peserta dan lain-lain,” katanya.
Sementara itu, bagi projek pembinaan padang latihan golf, beliau berkata ia juga dijangka siap pada Jun tahun ini dan akan menjadi pusat latihan bagi melahirkan serta membangunkan bakat muda golf di peringkat akar umbi dengan penyediaan fasiliti latihan yang lebih lengkap.
Tegas beliau, pemantauan berkala di peringkat tapak adalah penting bagi memastikan setiap projek kerajaan dilaksanakan dengan efisien, menepati spesifikasi dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
Dalam pada itu katanya, kerajaan Sarawak komited memastikan pelaksanaan projek ini berjalan mengikut perancangan serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.
Lawatan ke tapak projek LISCS turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif LISCS Datu Dr. Azhar Ahmad, Ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) LISCS Hadiah Abdullah, pegawai-pegawai LISCS serta wakil Yayasan Sarawak iaitu Shamsuddin Sham dan Zulfiqqar Fadhzely Randy.
Sementara itu, lawatan ke tapak projek kemudahan sukan Petra Jaya disertai oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak merangkap Setiausaha Kehormat Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Sarawak Semawi Mohammad dan tetamu kehormat yang lain.
-UKAS