KUALA LUMPUR: Projek Lebuh Raya Trans Borneo yang akan menghubungkan negara Brunei Darussalam, Indonesia dengan Sarawak dan Sabah di Malaysia tetap diteruskan.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, jajaran bagi Lebuh Raya Trans Borneo ini terdiri daripada Lebuh Raya Pan Borneo, Sarawak – Sabah Link Road dan beberapa jajaran di Lebuh Raya Trans Borneo yang masih belum dimulakan (missing links).
Jelasnya, setelah pengumuman dari pihak Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan, maka kerja-kerja untuk menyiapkan Trans Borneo Highway ini di sebelah Indonesia telah digiatkan.
“Jalan baru dari Simanggaris ke Malinau di Indonesia telah pun siap dan kerja-kerja untuk membina jalan baru dari Malinau ke Long Midan Kerayan di sempadan Malaysia telah dimulakan.
“Oleh itu, terdapat keperluan untuk menyiapkan Lebuh Raya Pan Borneo, Sarawak – Sabah Link Road dan beberapa Trans Borneo missing links di sebelah Malaysia untuk melengkapkan laluan Trans Borneo ini secara keseluruhannya,” katanya dalam jawapan bertulis pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14, semalam.
Sementara itu, beliau menambah, bagi Lebuh Raya Trans Borneo dari Kalabakan ke Simanggaris, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri bagi menentukan hala tuju dan keutamaan projek ini dalam RMKe-12.
“Pada masa ini, kerajaan akan menumpukan kepada penyiapan Lebuh Raya Pan Borneo dan Sarawak – Sabah Link Road Fasa 1 terlebih dahulu,” ujarnya.
Manakala Fadillah menambah jajaran jalan dari Sipitang ke Long Pasia adalah merupakan sebahagian daripada Projek Trans Borneo Highway yang akan menghubungkan Brunei Darussalam, Indonesia dengan Sarawak dan Sabah di Malaysia.
“Status dan jajaran jalan tersebut terdiri daripada lima segmen jajaran,” ujarnya sebahagian Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 (Pakej 1) dari Sipitang ke Sindumin.
Fadillah menambah status projek itu terkini adalah dalam pembinaan dengan kemajuan 39 peratus.
“Sebahagian Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Fasa 2 dari Miri ke Sindumin (melalui Brunei Darussalam) juga masih dalam peringkat perancangan,” katanya dalam jawapan bertulis pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14.
Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, sebahagian Sarawak – Sabah Link Road Pakej 1 dari Lawas ke Kampung Pa’ Berunut pula masih dalam peringkat reka bentuk.
Manakala, Sarawak-Sabah Link Road (Spur Road) Pakej 3 dari Long Lopeng ke Long Semado yang masih dalam peringkat perancangan.
“Seterusnya, sebahagian Lebuhraya Trans Borneo missing link (pakej 2) dari Long Semado ke Long Pasia yang masih dalam peringkat perancangan,” katanya.