
LIMBANG: Projek Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) bakal membuka lembaran baru dalam pembangunan wilayah utara Sarawak dengan menghubungkan Limbang, Lawas dan Brunei Darussalam secara langsung.
Bagi memastikan kelancaran projek ini, Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) melalui program khas hari ini mengadakan Program Kesedaran NCH di Limbang.
Menurut Pengarah Wilayah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latip, lebuh raya ini bukan sahaja akan mempercepatkan pergerakan dan pengangkutan, malah menjadi pemangkin utama kepada aktiviti ekonomi, pelancongan, pendidikan serta kemudahan kesihatan dan perkhidmatan awam di kawasan terbabit.
“Projek ini akan melibatkan pembinaan jalan empat lorong dua hala bermula dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tedungan ke ICQS Pandaruan. Ia turut merangkumi pembinaan jambatan baharu, kemudahan ruang persinggahan dan kemudahan awam, serta pengalihan utiliti,” katanya.
“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek, Program Kesedaran NCH diadakan Limbang, melibatkan pemimpin masyarakat, pemegang taruh dan agensi kerajaan.
Datu Ubaidillah menegaskan bahawa kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan projek ini bukan sahaja mematuhi piawaian keselamatan dan alam sekitar, tetapi juga memberi manfaat maksimum kepada rakyat di wilayah utara Sarawak.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Rozita Kulai, yang mewakili Residen Bahagian Limbang.
Oleh Adeng Edrus