
LAWAS: Projek ladang padi melibatkan pelabur swasta dan Universiti Malaya (UM) bakal dilaksanakan di daerah kecil Sundar, khususnya di kawasan Sinampuan dan Tanjong Katong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kawasan tersebut telah dikenal pasti dan mendapat kelulusan untuk pembangunan ladang padi yang menarik minat pelabur swasta.
“Kita nasihatkan supaya mereka melaksanakan projek perintis terlebih dahulu, di mana kita akan memberikan sokongan penuh. Projek perintis ini penting untuk membuktikan kesungguhan dan komitmen pelabur,” katanya pada sesi pertemuan bersama pelabur dan wakil UM, semalam.
Projek perintis akan dimulakan selepas kajian lapangan oleh pihak pelabur bersama Jabatan Pertanian. Projek ini mendapat perhatian serius daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang serta beberapa pegawai kanan kerajaan.
Oleh Adeng Edrus