
KRIAN: Projek pembinaan Klinik Kesihatan Nanga Atoi, Awik yang bernilai RM5.6 juta berjaya disiapkan sepenuhnya pada November tahun lalu, sekali gus memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, projek tersebut mula dibina pada tahun 2024 sebagai usaha meningkatkan kemudahan kesihatan luar bandar selaras dengan agenda pembangunan negeri.
Menurut beliau, siapnya projek tersebut telah menambah baik kemudahan di klinik berkenaan. Ia turut membantu memperkukuh keupayaan klinik dalam memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk sekitar.
Friday berkata, dengan adanya penambahbaikan ini, klinik berkenaan kini dapat memberikan rawatan yang lebih berkesan, teratur dan selesa kepada masyarakat setempat. Selain itu, ia juga memudahkan orang ramai mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan projek siap yang melibatkan pembinaan empat bangunan baharu di Klinik Kesihatan Nanga Atoi, Awik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kepada Kementerian Kesihatan (KKM)
Acara simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Ir Bujang Kanang, mewakili Pengarah JKR Sarawak kepada Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan, Datin Paduka Roslinah Md. Jani yang mewakili KKM.
Projek berkenaan dijangka memberi impak positif kepada sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar, selain memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat terus dipertingkatkan sejajar dengan keperluan semasa.
Oleh Adi Safarman