

MIRI: Kementerian Digital hari ini menyerahkan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) bernilai RM1 juta kepada penduduk Kampung Piasau Utara, di sini, sekali gus menandakan penyempurnaan pelaksanaan inisiatif berfokuskan pembangunan komuniti luar bandar itu.
Majlis penyerahan projek berkenaan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar, dalam satu acara rasmi yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Piasau Utara.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk pemimpin setempat dan penduduk kampung yang memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, inisiatif Kampung Angkat MADANI merupakan usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar melalui kerjasama strategik pelbagai agensi serta komuniti setempat.
“Kementerian Digital komited memastikan kemajuan teknologi bergerak seiring dengan peningkatan infrastruktur asas dan kualiti hidup penduduk luar bandar. Ini adalah tunjang kepada transformasi digital yang inklusif,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek tersebut melalui pindaan skop bagi memastikan impaknya dapat dimanfaatkan oleh keseluruhan komuniti.
Projek yang siap sepenuhnya itu merangkumi baik pulih Masjid Darul Hijrah, Holy Rosary Chapel dan Dewan Serbaguna Kampung Piasau Utara, pemasangan lampu solar LED sebagai langkah meningkatkan keselamatan, serta pembelian sebuah van jenazah baharu untuk kegunaan komuniti.
Selain itu, peralatan sokongan turut disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi membantu pentadbiran dan pengurusan kegiatan kemasyarakatan di kampung tersebut.
Sebagai tambahan, Kementerian Digital turut menganjurkan Kursus ‘AI For My Future’ semalam bagi memberi pendedahan kepada penduduk mengenai teknologi Kecerdasan Buatan (AI), termasuk aspek keselamatan, penggunaan bertanggungjawab dan manfaatnya dalam kehidupan harian.
Fabian berharap semua kemudahan baharu yang disediakan dapat dijaga dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk bagi memperkukuh kesejahteraan serta semangat perpaduan dalam komuniti.
Beliau berkata penyempurnaan projek itu diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi yang lebih mampan serta seiring dengan kemajuan digital.
Oleh Liong Chai Ling