



KAPIT: Projek pembinaan jambatan dan jalan dari Jalan Nanga Belawai ke Jalan Song-Kapit dijangka meningkatkan jaringan perhubungan darat serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk di Nanga Belawai dan kawasan sekitarnya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek itu akan melengkapkan rangkaian Jalan Song-Kapit, sekali gus meningkatkan keselamatan dan keselesaan perjalanan, mobiliti rakyat serta akses kepada kemudahan asas.
Beliau berkata projek berkenaan merangkumi pembinaan jalan berturap sepanjang 2.8 kilometer, sebuah jambatan merentasi Batang Rajang sepanjang 550 meter dan sebuah jambatan merentasi Sungai Belawai sepanjang 160 meter.
“Projek ini turut melibatkan kerja menaik taraf dua persimpangan serta kerja-kerja cerun, geoteknikal dan elektrikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit menghadiri sesi Taklimat Tender dan Lawatan Tapak projek berkenaan.
Nanta berkata projek berkenaan amat signifikan kepada penduduk setempat yang selama ini bergantung pada pengangkutan sungai sebagai sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
Beliau berkata kerajaan komited memastikan keperluan rakyat terus diberi perhatian menerusi penyediaan infrastruktur lebih baik dan mampan, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut Nanta, proses perolehan projek akan dilaksanakan secara telus, adil dan berintegriti bagi memastikan kontraktor dilantik mampu menawarkan keupayaan teknikal terbaik, kualiti pelaksanaan tinggi serta nilai terbaik untuk wang.
“Projek ini bukan sekadar pembinaan jalan dan jambatan tetapi pelaburan masa depan rakyat Kapit yang akan menghubungkan komuniti, membuka peluang ekonomi dan memperkukuh pembangunan luar bandar di Sarawak,” katanya. – Bernama