PUSA: Kerja pembinaan jambatan Batang Saribas bagi menghubungkan Daerah Pusa dengan Beladin sedang berjalan dengan lancar.
Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shahfizan Kepli berkata kerja pembinaan projek jambatan bernilai RM375.5 juta itu sudah 60.93 peratus siap.
Katanya, kemajuan projek pembinaan jambatan itu dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu mesyuarat bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 9 Januari lalu.
“Dalam mesyuarat bersama itu, pihak JKR Sarawak telah membentangkan laporan kemajuan jambatan ini siap 60.93 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Ogos 2024,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Mohamad Shahfizan memaklumkan, kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan kini sedang rancak dilaksanakan.
“Projek jambatah ini dibiayai keseluruhan oleh kerajaan Sarawak. Jambatan ini mula dibina pada 3 Jun 2019 dan pelaksanaannya mengalami penangguhan susulan pandemik COVID-19.
“Bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan kini kembali giat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, apabila siapnya jambatan itu kelak, ia akan memendekkan masa perjalanan tanpa menggunakan perkhidmatan feri lagi.