
SIMANGGANG: Pelaksanaan projek mega seperti pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 dan Jambatan Lingga diyakini mampu melonjakkan pembangunan ekonomi setempat khususnya di kawasan Sri Aman dan sekitarnya.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, projek Jambatan Batang Lupar 2 yang menghubungkan Sri Aman dengan Lidong di Betong serta Jambatan Lingga yang menghubungkan Sebuyau dan Lingga bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.

Menurut beliau, kemudahan infrastruktur tersebut bukan sahaja mempercepatkan jaringan perhubungan, malah membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pelaburan di kawasan luar bandar.
“Projek-projek ini amat penting dalam merancakkan pembangunan, terutamanya bagi penduduk di kampung dan rumah panjang yang selama ini bergantung kepada akses yang terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jom Bejarah Rayo 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Hilir Simanggang, malam tadi.

Bagaimanapun, Mohamad Shafizan menegaskan bahawa pembangunan fizikal semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai dengan pembangunan modal insan yang seimbang.
“Projek fizikal hanya akan mendatangkan faedah maksimum sekiranya kita turut memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan dan kemahiran dalam kalangan masyarakat,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru anak-anak Sarawak agar merebut peluang yang disediakan menerusi dasar Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang diperkenalkan kerajaan negeri.

Katanya, inisiatif tersebut mampu melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negeri secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Mohamad Shafizan turut menekankan bahawa sambutan Aidilfitri memainkan peranan penting dalam mengeratkan perpaduan, kebersamaan serta semangat kasih sayang dalam kalangan komuniti setempat.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Temenggung Mohd Shah Achang; Temenggung Kuek Aik Seng serta Pemanca Abang Norin Abang Norudin.
Oleh Adi Safarman