KUCHING: Kesemua projek jambatan di Sarawak dijangka siap menjelang 2025.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,ia termasuk projek Batang Lupar yang telah dipersetujui oleh Tok Nan (Adenan) dan Perdana Menteri sebelumnya,Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita telah memutuskan untuk meneruskan cadangan pembinaan jambatan di semua sungai termasuk Batang Lupar.
“Jambatan Batang Lupar yang dicadangkan seharusnya dibiayai 50-50 oleh kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan negeri,tetapi ketika Pakatan Harapan
mengambil alih pemerintahan,mereka menarik dana,”katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Rakyat Dewan Komuniti/Sukan di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa,semalam.
Tambahnya, dana telah diperuntukkan untuk pembinaan jambatan Batang Lupar dan upacara pecah tanah akan diadakan tidak lama lagi.
“Kita perlu masa sekitar empat tahun untuk menyiapkan jambatan Batang Lupar kerana ini adalah yang terpanjang,iaitu sekitar tujuh kilometer.
“Jambatan terpanjang kedua adalah jambatan di Batang Lassa, yang kini dalam pembinaan,”ujarnya.
Katanya, jumlah kos semua projek jambatan mega di Sarawak yang dibiayai oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sekitar RM5 bilion.
Jelasnya lagi, Kerajaan Sarawak akan membina jambatan untuk menggantikan semua perkhidmatan feri yang kini menghubungkan jalan raya utama di Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN