
BETONG: Projek pembangunan Jalan Utama Kedua Betong bawah Pakej B4 yang menghubungkan cadangan Jambatan Batang Lupar 2 di Sri Aman ke persimpangan Betong di Lebuh Raya Pan Borneo kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 77 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Perkembangan itu dimaklumkan dalam satu taklimat projek yang disampaikan oleh Jurutera Bahagian Betong sempena lawatan kerja rasmi Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo di lokasi tersebut, semalam.

Lawatan tersebut dimulakan di Pakej B4 yang melibatkan Jalan Lidong dan Jalan Spur Betong, dengan kehadiran Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnichal Rayong Ngipa.
Menurut taklimat berkenaan, skop utama projek melibatkan pembinaan jalan baharu serta kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 28 kilometer mengikut Piawaian Jalan JKR R5.
Sebahagian jajaran jalan yang menghubungkan Jambatan Batang Lupar 2 ke Lidong dan Betong dijangka akan dibuka secara berperingkat kepada pengguna jalan raya mulai Ogos tahun ini.

Pembukaan laluan tersebut dijangka memberi manfaat awal kepada penduduk setempat khususnya dalam memudahkan pergerakan harian dan mengurangkan kesesakan di beberapa laluan utama sedia ada.
Selain meningkatkan kebolehcapaian, projek berimpak tinggi itu turut dijangka dapat memendekkan masa perjalanan antara Betong dan Sri Aman sekali gus memperkukuhkan jaringan pengangkutan di kawasan tengah Sarawak.
Kerajaan Sarawak turut melihat projek berkenaan sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan sosioekonomi setempat termasuk merancakkan aktiviti perdagangan, pelancongan dan pembangunan luar bandar.
Lawatan kerja itu juga memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pelaksanaan projek infrastruktur utama berjalan lancar mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri secara menyeluruh.
Oleh Adi Safarman