
BEKENU: Projek Jalan Rambai Bulau sepanjang 10 kilometer dengan kos RM57 juta akan menjadi nadi utama peransang ekonomi kampung sudah dimulakan kerja pagi tadi dan dijangka siap pada 26 Februari 2028.
Projek ini merupakan pembinaan laluan yang menghubungkan empat kampung iaitu Kampung Rambai, Sinop, Mutap, dan Bulau terus ke Lebuh Raya Pan Borneo.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata projek Jalan Rambai Bulau dengan kos RM57 juta akan menghubungkan Kampung Rambai, Sinop, Mutap dan Bulau dengan pekan Bekenu.
“Sebelum projek ini, terdapat jalan berbatu yang menghubungkan Kampug Sinop dan Mutap menuju ke Lebuh Raya Pan Borneo, akan tetapi dari Kampung Rambai ke Sinop masih belum ada jalan,” katanya.
Datuk Rosey yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah di sini, hari ini.
Tambahnya, bagi laluan yang belum dihubungkan dengan jalan raya penduduk masih bergantung kepada sungai.
Sementara itu, di antara Kampung Mutap dan Bulau pula, akan dibina sebuah jambatan dua lorong, merentangi Sungai Sibuti yang akan memudahkan laluan penduduk kampung, katanya.
Sementara itu, projek seterusnya di kawasan ini (Bulau) ada pembinaan Jambatan Bulau yang menelan belanja RM6 juta yang akan menghubungkan kedua-dua belah Kampung Bulau yang terletak di pinggir Sungai Sibuti dan pelaksanaannya telah dimulakan pada 28 Februari lalu, dan dijadualkan siap pada 27 Februari 2027.
“Ketika ini penduduk Kampung Bulau dari seberang sungai dihubungkan dengan jambatan gantung yang hanya dapat dilalui pejalan kaki dan motosikal.
“Tetapi dengan adanya jambatan satu lorong ini kelak, maka ia dapat dilalui kenderaan,” katanya.
Selain akan dihubungkan dengan mudah, penduduk Kampung Bulau termasuk yang terletak di seberang sungai, jambatan tersebut turut memendekkan perjalanan penduduk untuk ke Kampung Tiris yang juga bersebelahan Lebuh Raya Pan Borneo.
Hadir sama, Setiausaha Politik Premier Sarawak Sarkawi Suhaili, Jurutera JKR Wilayah Miri Stephen Ung, dan Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, Pemanca Dr Ali Mudin, dan Ketua Kampung Bulau (KK) Amin Anting, KK Ramli Talip (Sinop), dan KK Amir Emran (Rambai).
Oleh Adum Liu