
SIMANGGANG: Bandar Simanggang dijangka mengalami perubahan ketara apabila rangkaian jalan raya pesisir pantai yang menghubungkan beberapa kawasan utama siap sepenuhnya seiring dengan siapnya projek Jambatan Batang Lupar 2, Mei tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek berkenaan akan memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi dan kemudahan perhubungan penduduk di kawasan tersebut
Menurut Harden, selain projek jambatan berkenaan, pembinaan Jalan Brayun–Basi yang menghubungkan Bandar Simanggang turut memberi manfaat kepada sekitar 10 rumah panjang dan dua sekolah rendah di sepanjang laluan tersebut sebelum bersambung terus ke Lebuh Raya Pan Borneo di Kampung Stuga.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cina Munggu Sabun dengan kerjasama Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang dan Line Dance Club, dekat sini semalam.
Harden menambah, pembangunan turut melibatkan pekan Batu Lintang yang bakal menempatkan 10 lot kedai baharu termasuk tamu harian menerusi projek Pusat Khidmat Batu Lintang di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) dengan kos projek sekitar RM15 juta.

Dalam pada itu, kerajaan Sarawak juga terus mengorak langkah membawa pembangunan moden melalui pengukuhan ekonomi digital bagi memastikan negeri ini berada di landasan kukuh menuju masa depan yang lebih maju.
Pada majlis tersebut, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut mengumumkan kelulusan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2026 berjumlah RM3,000 kepada Line Dance Club dan RM5,000 kepada badan induk JKKK Kampung Cina Munggu Sabun bagi menyokong aktiviti komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman