
SERIAN: Projek pembinaan Jalan Perhubungan Desa Kampung Mantung Mubuk-Kampung Mayang Kawan dijangka meningkatkan jaringan perhubungan luar bandar serta merancakkan pembangunan sosioekonomi penduduk apabila siap kelak.
Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, semalam.
Dalam ucapannya, beliau berkata projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,653 penduduk melibatkan tujuh kampung.
Menurutnya, kampung yang bakal menerima manfaat ialah Kampung Mantung Mubuk, Kampung Mantung Silaga, Kampung Mantung Birawan, Kampung Mantung Mara-U, Kampung Mayang Mawang, Kampung Mayang Kawan dan Kampung Pulau Pranuk.
Beliau berkata pembinaan jalan baharu berturap mengikut Piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R1 itu bertujuan meningkatkan hubungan antara kampung dengan Bandar Serian, di samping menyediakan laluan yang lebih selamat, selesa dan berkualiti kepada penduduk.
Katanya, sebaik projek siap, jarak perjalanan dari Kampung Mayang Kawan ke Kampung Mantung Mubuk akan dipendekkan daripada 28.4 kilometer dengan anggaran masa perjalanan 33 minit kepada hanya 8.7 kilometer dalam tempoh kira-kira 10 minit.

“Pengurangan jarak dan masa perjalanan ini bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah dijangka merangsang aktiviti ekonomi serta meningkatkan akses kepada pelbagai kemudahan asas,” katanya.
Sementara itu, Penolong Jurutera Bahagian (Pembangunan) JKR Bahagian Serian, Ir. Ts. Adriana Peter Chee, menyampaikan taklimat mengenai projek berkenaan.
Beliau berkata projek yang terletak kira-kira 24 kilometer dari Bandar Serian itu dilaksanakan oleh JKR Bahagian Serian sebagai agensi pelaksana.
Menurut beliau, jajaran jalan yang dicadangkan merentasi kawasan berbukit dan berbatu serta melibatkan beberapa lintasan sungai dan anak sungai yang memerlukan pembinaan sebuah jambatan serta beberapa pembetung jalan.
Selain memberi manfaat kepada penduduk, projek itu turut memanfaatkan tiga sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Anthony Kawan, SK Mubuk Birawan Serian dan SK Lobang Batu.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semuja, John Ilus ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada Pegawai Tadbir Khas Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), Datuk Ik Pahon Joyik serta Residen Bahagian Serian, Machos Sibong.
Oleh Adi Safarman



