
SARIKEI: Projek jalan dan jambatan bernilai keseluruhan sekitar RM365 juta dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi sistem perhubungan di Muara Payang dan kawasan sekitarnya menjelang 2030.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan jalan dari Parit Bugis dan Bukit Huang ke Muara Payang bernilai RM65 juta dan sebuah jambatan merentasi Batang Rajang yang dianggarkan berjumlah RM300 juta.
Katanya, projek jalan yang sedang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) itu akan disambungkan terus ke kawasan Samaring dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop bagi mewujudkan rangkaian perhubungan yang lebih menyeluruh di kawasan Delta Rajang.
“Bagi melengkapkan sistem perhubungan ini, sebuah jambatan merentasi Batang Rajang yang dianggarkan bernilai RM300 juta turut akan dibina.
“Projek tersebut pada dasarnya telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa majlis perasmian Jambatan Tuanku Haji Bujang di Pasi tahun lalu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Ngiling Bidai di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang, semalam.
Tambahnya, kemudahan perhubungan yang lebih baik akan memudahkan pergerakan penduduk, mempercepatkan urusan logistik dan membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan luar bandar.
“Sokongan dan kerjasama erat daripada tuai rumah dan masyarakat setempat menjadi faktor penting dalam memastikan setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Pembangunan infrastruktur sistem perhubungan yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan keselesaan penduduk, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Kita melihat kawasan ini mempunyai potensi besar khususnya dalam sektor pertanian yang mampu berkembang dengan lebih pesat apabila sistem perhubungan dapat dipertingkatkan,” katanya.
Katanya, pelaksanaan projek-projek tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam melengkapkan prasarana asas serta meningkatkan taraf hidup rakyat di Muara Payang dan kawasan sekitarnya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab dan Penghulu Bidai Ginsang.
Oleh Earl Anek