
MIRI: Projek menaik taraf jalan dari Bario ke Pa Lungan yang sebelum ini terbengkalai kini dimulakan semula selepas dianugerahkan kepada kontraktor baharu yang lebih berkeupayaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, majlis pecah tanah dan doa pemberkatan yang diadakan hari ini menandakan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar.
Menurutnya, projek yang dilaksanakan melalui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi itu melibatkan pembinaan jalan sepanjang 12 kilometer dengan standard R1 selebar lima meter.
“Daripada jumlah itu, sembilan kilometer akan dibina dengan kemasan batu kelikir manakala tiga kilometer lagi menggunakan kemasan konkrit mengikut kesesuaian muka bumi di kawasan berkenaan.
“Projek ini turut merangkumi pembinaan jambatan besi sepanjang 200 meter sebagai penghubung penting antara Bario dan Pa Lungan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya petang tadi.
Menurut Gerawat, projek berkenaan sebelum ini telah dilancarkan beberapa tahun lalu, namun gagal disiapkan oleh kontraktor asal sebelum kontrak ditamatkan.
“Susulan itu, RECODA mengambil langkah menender semula projek ini dan kini telah dianugerahkan kepada kontraktor baharu bagi memastikan pelaksanaan berjalan lebih teratur serta mengikut jadual,” jelasnya.
Gerawat turut memaklumkan projek bernilai RM50 juta itu dijangka memberi impak besar kepada penduduk setempat, khususnya dalam meningkatkan akses perhubungan, keselamatan perjalanan serta merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan.
“Jalan yang lebih baik akan memudahkan pergerakan penduduk, selain meningkatkan akses kepada kemudahan asas seperti pendidikan dan kesihatan.
“Saya akan terus memantau pelaksanaan projek ini agar ia disiapkan mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu berharap projek berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih pesat di kawasan pedalaman serta memastikan tiada komuniti luar bandar yang tercicir daripada arus pembangunan.
Oleh Liong Chai Ling